AEC perlu berwibawa - Munir Majid

22 August 2015
(Click BH Online for original post)

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Ekonomi ASEAN mesti memastikan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang berwibawa dan yang akan menyediakan tonggak politik-keselamatan dan sosiobudaya, kata Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Tan Sri Munir Majid.

Beliau berkata, masyarakat mahu melihat AEC yang berwibawa dan yang akan memutuskan sejauh mana tahap persepakatan antara semua negara dalam budaya dan politik.

"Jika AEC yang berwibawa tidak mampu dijayakan, kedua-dua tunggak itu tidak akan berjaya dan pewujudan komuniti ASEAN secara terangkum tidak akan menjadi realiti.

"Oleh itu mereka mempunyai tanggungjawab besar dan memastikan pada setiap pertemuan, cadangan perlulah konkrit, baik, berwibawa dan membuat kenyataan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat," katanya kepada dalam satu temu bual.

Bercakap sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-47 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang dirasmikan hari ini, Munir turut menyentuh mengenai struktur menegak proses membuat keputusan dalam ASEAN yang menurutnya terdedah kepada bekerja secara bersendirian.

"Jika anda melihat carta proses membuat keputusan ASEAN, ia menegak. Anda boleh lihat sekurang-kurangnya 10 atau 11 menteri terlibat, semuanya melepaskan kepada pemimpin ASEAN untuk membuat keputusan.

"Jika anda ada carta mendatar, ia lebih baik kepada organisasi. Anda perlu melihat kaedah untuk meningkatkan pengurusan kos komunikasi antara pelbagai kementerian," katanya.

Beliau berkata, antara cadangannya ialah mewujudkan Menteri Hal Ehwal ASEAN yang akan bertanggungjawab ke atas keputusan yang dicapai oleh pemimpin ASEAN di peringkat domestik.

Beliau berkata, kementerian itu tidak akan mengambil alih tanggungjawab kementerian lain tetapi lebih kepada usaha untuk meningkatkan pelaksanaan keputusan yang dicapai oleh pemimpin ASEAN seperi proses perundangan dan komunikasi kepada rakyat dalam ekonomi tempatan.

AEM akan meletakkan sentuhan akhir kepada pelancaran Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang hujung tahun.

- BERNAMA