ASEAN diyakini muncul antara blok serantau paling berpengaruh di dunia – Nazir Razak

Tan Sri Nazir Razak (dua dari kiri) dan Liew Chin Tong (dua dari kanan) menyaksikan jalinan kerjasama antara ASEAN-BAC dan Sustainable Finance Institute Asia (SFIA).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZI
Razan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 26 Mei – Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) berkeyakinan rantau itu akan menjadi antara blok serantau yang paling berpengaruh di dunia dengan semangat kerjasama serta fokus yang jelas.
Pengerusinya, Tan Sri Nazir Razak berkata ASEAN-BAC berkata, sejumlah 12 inisiatif utama mereka telah menunjukkan kemajuan yang stabil melalui rundingan rasmi dengan badan-badan ASEAN sejak pelancarannya pada Januari 2025.
Beliau berkata, pihaknya bersedia mengemukakan cadangannya kepada pemimpin-pemimpin ASEAN semasa dialog rasmi yang akan berlangsung, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Katanya, ASEAN-BAC akan membentangkan cadangan konkrit untuk mempercepatkan integrasi serantau dan memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN.
“ASEAN bukan sekadar sebuah gabungan serantau, ia adalah satu kuasa dinamik, satu gabungan negara-negara yang bersedia untuk menentukan nasib mereka sendiri.
“Dengan fokus strategik yang jelas, semangat kerjasama dan keutamaan baharu terhadap pelaksanaan, ASEAN akan berada pada landasan kukuh untuk menjadi salah satu blok serantau yang paling berpengaruh dan makmur di dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nazir berkata, ASEAN-BAC turut menganjurkan Mesyuarat Meja Bulat Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN-GCC-China, dengan menghimpunkan pemimpin-pemimpin perniagaan dari ketiga-tiga rantau untuk meneroka peluang pelaburan.
Katanya, Dialog itu membincangkan kerjasama tiga hala, mengenal pasti perkongsian utama dan strategi yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh kerjasama perdagangan merentas sektor pertumbuhan tinggi.
Bagi perniagaan ASEAN, inisiatif ini membuka akses kepada pasaran baharu dan saluran pelaburan ketika dinamik ekonomi global semakin beralih ke Timur, sekali gus meletakkan rantau ini sebagai pintu masuk penting untuk pelaburan dua hala.
Beliau berkata, beberapa jalinan kerjasama sudah ditandatangani semasa acara berkenaan, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Ia antaranya kerjasama antara MyEG Services Berhad (MyEG) dan Singapore Trade Data Exchange Services Pte Ltd (SGTraDex) di bawah Inisiatif Ke-6 ASEAN-BAC, bagi mewujudkan platform pertukaran data digital rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
Selain itu, katanya, ASEAN-BAC turut memeterai kerjasama dengan Sustainable Finance Institute Asia (SFIA) menerusi Inisiatif Ke-11 bagi memperkasa pelaporan kemampanan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau melalui inisiatif SAFE.
“ASEAN-BAC juga telah memeterai kerjasama strategik selama tiga tahun dengan Tech For Good Institute (TFGI) yang berpangkalan di Singapura. Menerusi perjanjian itu mereka akan menjadi rakan pengetahuan rasmi bagi menyokong usaha integrasi ekonomi digital ASEAN dan APEC.
“Kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran TFGI dalam tadbir urus digital dan penyelidikan dasar untuk mengukuhkan komunikasi rentas sektor dalam ekosistem teknologi Asia Tenggara. ASEAN-BAC pula akan menyediakan panduan dan cadangan daripada sektor swasta bagi memacu pembangunan ekonomi digital,” katanya.
Sementara itu, ASEAN-BAC Malaysia turut mengumumkan kerjasama strategik selama dua tahun dengan UN Women bagi mentransformasikan amalan kesaksamaan jantina dalam landskap perniagaan ASEAN manakala ASEAN-BAC Filipina menyerahkan Surat Hasrat (LOI) kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memajukan ekosistem Teknologi Pertanian Digital (AgTech) secara bersama.
Source: dagangnews.com