ASEAN berpotensi jadi antara blok serantau paling berpengaruh, makmur di dunia – ASEAN-BAC

Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) yakin dengan masa depan ASEAN sebagai kuasa dinamik yang berpotensi menjadi antara blok serantau paling berpengaruh dan makmur di dunia. – NSTP/AIZUDDIN SAAD
KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) yakin dengan masa depan rantau ini, dengan menyifatkan rangka kerjasama ditunjangi 10 negara anggota itu sebagai satu kuasa dinamik yang berpotensi menjadi antara blok serantau paling berpengaruh dan makmur di dunia.
Pengerusinya, Tan Sri Nazir Razak berkata ASEAN-BAC juga komited untuk terus memperjuang integrasi ekonomi ASEAN secara menyeluruh, dengan menyifatkan 12 inisiatif strategik yang dirangka di bawahnya sebagai kerangka kukuh untuk menghadapi cabaran ekonomi global.
Tegas beliau, semua 12 inisiatif utama di bawah ASEAN-BAC sudah pun telah melalui proses rundingan rasmi bersama badan-badan ASEAN sejak Januari lalu dan dikemukakan kepada pemimpin ASEAN.
Inisiatif itu merangkumi cadangan konkrit yang bertujuan mempercepat integrasi serantau serta memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN dalam menghadapi cabaran semasa.
Sehubungan itu, katanya komuniti perniagaan bersedia untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN dalam merealisasikan cadangan ini, demi manfaat bersama rakyat dan perniagaan di seluruh rantau.
“Kami akan membentangkan cadangan konkrit bagi mempercepat integrasi serantau dan memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN kerana masa tidak boleh dibazirkan,” katanya.
Nazir berkata, ASEAN-BAC turut menganjurkan pusingan meja Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, bertujuan meneroka kerjasama pelaburan dan perdagangan tiga hala antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Beliau berkata, dialog berkenaan menyasarkan peluang kerjasama dalam sektor pertumbuhan tinggi, membuka akses baharu kepada pasaran dan pelaburan yang dilihat penting dalam konteks perubahan dinamik ekonomi global ke arah timur.
Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) katanya sudah ditandatangani semasa acara berkenaan, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
MoU itu katanya membabitkan kerjasama antara MyEG Services Berhad (MyEG) dan Singapore Trade Data Exchange Services Pte Ltd (SGTraDex) di bawah Inisiatif Ke-6 ASEAN-BAC, bagi mewujudkan platform pertukaran data digital rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) yakin dengan masa depan rantau ini, dengan menyifatkan rangka kerjasama ditunjangi 10 negara anggota itu sebagai satu kuasa dinamik yang berpotensi menjadi antara blok serantau paling berpengaruh dan makmur di dunia
Selain itu, katanya, ASEAN-BAC turut memeterai kerjasama dengan Sustainable Finance Institute Asia (SFIA) menerusi Inisiatif Ke-11 bagi memperkasa pelaporan kemampanan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau melalui ‘Interoperability Sandbox’ di bawah inisiatif SAFE.
“ASEAN-BAC juga menandatangani kerjasama tiga tahun dengan Tech For Good Institute (TFGI) dari Singapura sebagai rakan pengetahuan rasmi dalam memajukan integrasi ekonomi digital ASEAN dan APEC.
“Dalam masa sama, ASEAN-BAC Malaysia menjalin kerjasama dengan UN Women menerusi Inisiatif Ke-10 bagi mempromosi kesaksamaan gender dalam landskap perniagaan ASEAN. Kerjasama ini membabitkan advokasi perwakilan wanita dalam lembaga pengarah dan pelaporan gender dalam laporan kemampanan,” katanya.
Source: bharian.com