Malaysia guna pendekatan berhemah, strategik tangani tarif AS – Nazir Razak

Nazir bercakap pada taklimat media perkembangan terbaharu 12 inisiatif ekonomi ASEAN-BAC di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/AHMAD UKASYAH
Oleh Mohd Zaky Zainuddin
KUALA LUMPUR: Malaysia menggunakan pendekatan berhemah dan strategik dalam menangani isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), ketika rantau ASEAN terus menggerakkan pelbagai inisiatif penting menerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, Tan Sri Nazir Razak, berkata kerajaan menunjukkan kebijaksanaan apabila tidak bertindak tergesa-gesa atau mengikut emosi dalam memberi maklum balas terhadap tekanan tarif dari Washington.
“Pertama, Malaysia kekal tenang. Kedua, pendekatan sesi libat urus kita untuk mengenalpasti sama ada isu ini hanyalah retorik atau sesuatu yang serius.
“Ketiga, kita rangka strategi, dan keempat barulah kita bersedia untuk berunding. Ini pendekatan terbaik,” katanya pada taklimat media perkembangan terbaharu 12 inisiatif ekonomi ASEAN-BAC di sini, hari ini.
Nazir menyifatkan pendekatan Malaysia jauh lebih bijak dalam melindungi kepentingan ekonomi negara ketika pendekatan beberapa negara lain yang bertindak balas secara terlalu cepat dan agresif.
“Isu tarif ini dilihat sebagai sebahagian daripada cabaran yang menguji kesepaduan dan daya tahan ASEAN, terutama dalam usaha menyelesaikan pelbagai halangan perdagangan bukan tarif (NTB) yang semakin meningkat di rantau ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, terdapat lebih 9,600 bentuk halangan bukan tarif yang dikesan di seluruh ASEAN, termasuk dalam urusan pensijilan halal antara Malaysia dan negara jiran seperti Indonesia dan Brunei.
“Masalah NTB ini bukan hanya menjejaskan hubungan antara negara, tetapi turut membebankan sektor swasta dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahu mengembangkan pasaran,” katanya.
Nazir turut mencadangkan agar ASEAN menjadikan rundingan dengan AS sebagai peluang untuk menyemak dan menilai semula NTB yang tidak lagi relevan atau menghalang kerjasama serantau.
Selain isu tarif dan NTB, Nazir turut membentangkan kemas kini tentang kemajuan pelbagai inisiatif di bawah ASEAN-BAC, termasuk projek Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) dan rangka kerja pasaran swasta serta filantropi.
“Sebahagian inisiatif seperti rangka kerja filantropi dan laporan pasaran swasta telah siap dan akan diserahkan kepada pemimpin ASEAN hujung bulan ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, taklimat diberikan kepada Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Menteri Kewangan, dan ASEAN-BAC akan bertemu pemimpin ASEAN di Genting Highlands pada penghujung Mei untuk pembentangan penuh.
Nazir turut menegaskan, inisiatif yang dicadangkan oleh ASEAN-BAC tidak memerlukan balasan timbal balas atau ‘reciprocity’ daripada negara lain.
“Kalau Malaysia sahaja yang melaksanakannya, kita tetap untung. Misalnya, jika kita permudahkan syarikat multinasional seperti Standard Chartered beroperasi dengan lancar di Malaysia, kita akan jadi lokasi pilihan,” jelasnya.
Beliau juga mengkritik kecenderungan ASEAN meletakkan sasaran tinggi tetapi sukar dicapai dan menekankan pentingnya pelaksanaan yang realistik serta boleh dicapai.
“Kalau sasaran terlalu tinggi dan tiada pelaksanaan berperingkat, akhirnya kita tidak bergerak ke mana-mana. Kejayaan memerlukan tindakan konkrit, bukan hanya perancangan,” katanya.
Dalam pada itu, Nazir berkata beberapa inisiatif seperti prospektus tawaran asam permulaan (IPO) ASEAN dan platform pertukaran digital masih memerlukan perubahan dasar di peringkat negara untuk dilaksanakan sepenuhnya.
“Saya optimis usaha kali ini mampu mencapai hasil berbanding inisiatif ASEAN sebelum ini yang gagal kerana ketiadaan mekanisme pelaksanaan yang jelas.
“Insya-Allah, dengan pendekatan yang lebih praktikal dan pembabitan sektor swasta, kita harap pemimpin ASEAN akan memberi sokongan penuh untuk merealisasikan inisiatif 2035 ini,” katanya.
Source: bharian.com